melayu 4
By arwahx.blogspot. com at Mei 10, 2023
melayu 4
demikian, kaedah pewasapan digunakan untuk membunuh serangga dan kulat
yang terdapat di dalam manuskrip dan buku di samping mencegah bahan-bahan
ini daripada diserang semula.
Kaedah pewasapan ini melibatkan penggunaan pelbagai jenis bahan kimia.
Antara bahan kimia yang lazim digunakan dalam kaedah ini ialah
Paradychlorobenzene yang merupakan bijirin yang digunakan ke atas anai-anai,
pijat dan silverfish. Bahan kimia ini mampu membunuh serangga kecil yang
berukuran antara 0.1 hingga 0.5 inci dalam jangka masa 14 hari. Selain daripada
itu, Phostoxin juga dalam bentuk bijirin turut digunakan dalam kaedah pewasapan
ini. Bahan kimia ini bertindak balas ke atas serangga seperti lipas dalam jangka
waktu yang lebih singkat iaitu tiga hari. Bahan kimia dalam bentuk gas juga
digunakan ke atas haiwan atau serangga yang mempunyai saiz yang lebih besar
iaitu antara 5 hingga 7 inci seperti tikus rumah. Gas yang digunakan ialah
Methylbromide gas, yang mampu membunuh serangga dalam tempoh tiga hari.
ii. Penyahasidan (deacidation)
Manuskrip Melayu yang baru diterima untuk proses pemuliharaan perlu
diuji tahap keasidannya. ABBY pH pen digunakan untuk menguji kandungan asid
manuskrip tersebut. Manuskrip yang mempunyai kandungan asid mempunyai
tahap pH 1 hingga 6, manakala tahap 7 hingga 13 menunjukkan kandungan
neutral. Selain itu, ujian kelunturan dakwat juga dijalankan ke atas manuskrip
untuk mengetahui kualiti dakwat yang digunakan dalam penulisan manuskrip
kerana sebagaimana yang dimaklumi bahawa dakwat yang digunakan oleh para
ilmuan terdahulu dalam penulisan manuskrip adalah merupakan bahan-bahan
169
semula jadi daripada alam sekeliling seperti jelaga dan buah senduduk. Dalam
ujian ini, air suling dan blotting paper digunakan untuk menguji kelunturan
dakwat. Air suling dititikkan ke atas manuskrip dan kemudiannya diletakkan
blotting paper di atasnya. Dakwat manuskrip yang meluntur akan memberi kesan
di blotting paper.
Setelah menjalani ujian-ujian tersebut, Manuskrip Melayu berkenaan akan
dibersihkan dengan menggunakan berus lembut dan draft clean pad. Seterusnya
manuskrip akan melalui proses penyahasidan secara kering dengan menggunakan
campuran bahan kimia barium hydroxide dan methanol. Segala proses ini
dijalankan di dalam fume cupboard. Akhirnya, manuskrip berkenaan dikeringkan
di dalam rak pengeringan sebelum menjalani proses selanjutnya.45
Gambar 4.1: Peralatan Dan Peringkat Awal Pemuliharaan
Sumber: Lawatan ke Bahagian Pemuliharaan pada 13 September 2011.
Manuskrip-manuskrip yang akan menjalani aktiviti pembaikan akan
diasingkan mengikut keadaan manuskrip berkenaan dan akan menjalani
pembaikan bergantung kepada kesesuaian. Terdapat dua kaedah pelaksanaan
45 En.Nasri (Pegawai Bahagian Pemuliharaan Manuskrip Melayu PNM) dalam temu bual dengan penulis.
13 September 2010
170
pemuliharaan manuskrip secara fizikal iaitu pembaikan tisu dan pembaikan
leafcasting.
iii. Pembaikan tisu
Pembaikan tisu merupakan proses kerja ke atas manuskrip yang keadaan
kertasnya lembut, rapuh, reput dan dakwat kembang serta berlubang dimakan
anai-anai dan serangga. Kerja-kerja pembaikan tisu yang menggunakan machine
made roll tissue ini memerlukan perhatian dan kesabaran yang tinggi.
Langkah pertama yang dilakukan dalam kerja-kerja pembaikan tisu ialah
penyediaan perekat. Perekat yang menggunakan carboxy methyl cellulose
ditimbang terlebih dahulu mengikut kadar yang ditetapkan sebelum dipukul rata
bersama air suling.
Seterusnya, manuskrip yang ingin menjalani pembaikan tisu akan dilapisi
dengan beberapa lapisan kertas. Arbex polyester diletakkan pada lapisan paling
bawah. Ini diikuti oleh kertas buatan tangan (handmade paper), manuskrip,
machine made roll tissue dan lapisan teratas ialah polyester screen. Machine made
roll tissue perlu diletakkan dengan berhati-hati di atas manuskrip agar semua
permukaan manuskrip sempurna ditutup. Setelah semua lapisan kertas tersebut
disusun rapi, perekat yang diperbuat daripada carboxy methyl cellulose tadi disapu
dengan penuh teliti di atas lapisan tersebut. Kemudiannya, manuskrip yang sudah
siap disapu perekat, dikeringkan di dalam rak pengeringan. Manuskrip yang telah
benar-benar kering, akan menjalani proses berikutnya.
171
Perekat yang sudah kering dan mengeras sehingga menutupi manuskrip
dikikis dengan berhati-hati dengan menggunakan pisau bedah (surgical knife).
Proses kerja ini memerlukan ketelitian yang tinggi agar tidak merosakkan
manuskrip. Langkah berikutnya ialah kerja-kerja untuk meratakan manuskrip.
Manuskrip akan diratakan dengan menggunakan kaedah standing press. Akhir
sekali, manuskrip yang telah siap melalui proses pembaikan tisu akan dipotong
mengikut margin yang dikehendaki sebagaimana yang telah ditetapkan oleh
PNM. Margin dipotong dengan menggunakan pembaris besi, NT cutter dan
cutting mate agar manuskrip yang telah siap menjalani pembaikan tisu tampak
kemas dan rapi.
Gambar 4.2: Proses Pemuliharaan Manuskrip Kaedah Pembaikan Tisu
Sumber: Lawatan ke Bahagian Pemuliharaan pada 13 September 2011.
172
iv. Pembaikan Leafcasting
Pembaikan Leafcasting ialah kaedah yang dilakukan dengan menggunakan
mesin Leafcaster46 untuk menghasilkan kerja yang banyak. Proses kerja ini
dilakukan pada manuskrip yang kertasnya dalam keadaan baik, dakwat pula tidak
kembang. Namun, manuskrip yang berlubang disebabkan anai-anai atau serangga
yang lain masih boleh menggunakan kaedah ini.
Manuskrip yang telah sedia untuk menjalani proses pembaikan, akan
dilembapkan terlebih dahulu dengan menggunakan span dan air suling.
Seterusnya, manuskrip tersebut akan ditutup sepenuhnya dengan menggunakan
polyester film di atas mesin Leafcaster. Pada masa yang sama, bodlein dikisar
untuk dijadikan serat sebelum dituang ke atas manuskrip yang telah ditutupi serat
tadi. Mesin Leafcaster kemudiannya dibiarkan beroperasi.
Selesai proses tersebut kita akan mendapati serat akan menutupi ruang yang
berlubang pada manuskrip. Seterusnya, manuskrip akan diratakan dengan
menggunakan roller. Air yang berlebihan pada manuskrip akan diserap
menggunakan mesin hydraulic press dan blotting paper. Manuskrip tersebut
kemudiannya disapu dengan perekat yang diperbuat daripada carboxy methyl
cellulose sebelum diletakkan di dalam rak pengering untuk dikeringkan.
Akhirnya, manuskrip tersebut telah siap diperbaiki.
Kesemua manuskrip yang telah siap dipulihara sama ada secara pembaikan
tisu atau pembaikan Leafcasting akan disimpan di dalam kotak penyimpanan
46 Kaedah ini adalah inspirasi dari negara Jerman hasil lawatan seorang pegawai bahagian Pemuliharaan
ke negara tersebut. Maklumat hasil temu bual bersama En Nasri, Pegawai dari bahagian Pemuliharaan
Manuskrip Melayu.
173
manuskrip yang dibuat khas bersifat bebas asid. Ini bertujuan untuk memelihara
manuskrip yang telah dipulihara daripada rosak akibat sifat asid pada
persekitarannya.
Gambar 4.3: Proses Pemuliharaan Manuskrip Kaedah Leafcasting
Sumber: Lawatan ke Bahagian Pemuliharaan pada 13 September 2011.
174
g) Mikrofilem
Mikrofilem merupakan salah satu kaedah pemuliharaan yang telah
digunakan dengan membuat salinan manuskrip dalam bentuk mikrofilem. Salinan
Manuskrip Melayu ke dalam bentuk mikrofilem adalah dengan menggunakan
mesin khas. Selepas manuskrip tersebut dibuat salinan, mikrofilem akan disemak
agar tiada kandungan manuskrip yang tertinggal. Akhirnya, mikrofilem tersebut
disimpan di dalam kotak sebagai koleksi PMM yang akan digunakan untuk tujuan
lain seperti penulisan.
Selain itu, daripada pemuliharaan aspek fizikal manuskrip, pemuliharaan
kandungan manuskrip daripada medium asal kepada medium teknologi kini juga
tidak dikesampingkan. Selain manuskrip disalin ke bentuk mikrofilem, pihak
PMM juga mempunyai perancangan untuk memindahkan manuskrip ke dalam
talian. Namun, hasrat ini masih diperingkat perancangan disebabkan kekangan
kewangan. Berikutan projek ini dianggarkan menelan kos yang agak tinggi.47
h) Reprografi
Reprografi merupakan aktiviti yang dijalankan oleh PMM dalam membuat
salinan foto sesuatu manuskrip. Pihak PMM telah menetapkan beberapa syarat
kepada pihak-pihak yang ingin membuat salinan foto daripada Manuskrip Melayu
iaitu manuskrip asal tidak boleh sama sekali dibuat salinan foto. Salinan foto
hanya dibenarkan dibuat kepada salinan kertas.
Walau bagaimanapun, PMM masih membenarkan aktiviti fotografi
manuskrip asal dibuat sekiranya salinan dalam bentuk lain tidak dapat memenuhi
47 En. Faizal Hilmie Yusof (Ketua Unit Pembinaan Koleksi PMM) dalam temu bual dengan
penulis, 23 Ogos 2010.
175
keperluan penulis. Permohonan perolehan salinan daripada luar adalah dibenarkan
untuk manuskrip-manuskrip kepunyaan PNM sahaja. Namun begitu, PMM telah
menetapkan bayaran ke atas permohonan tersebut mengikut syarat-syarat yang
telah ditetapkan.
Di samping itu, manuskrip-manuskrip yang terdapat di PNM akan
mempunyai empat salinan mikro iaitu salinan generasi pertama untuk
pemeliharaan, salinan generasi kedua untuk penyalinan, salinan generasi ketiga
untuk penulisan dan salinan generasi keempat untuk Sistem Pembekalan
Penerbitan. Manakala mikrofilem atau mikrofis manuskrip luar negara boleh
dibuat salinan tambahan untuk tujuan Sistem Pembekalan Penerbitan sahaja
i) Penyelidikan
PMM amat menggalakkan para sarjana dan penulis mengkaji tentang
Manuskrip Melayu. Dalam usaha penggalakkan ini, PMM menyediakan
kompilasi kepada semua judul hasil penulisan ilmiah berbentuk penyelidikan di
pelbagai peringkat bermula daripada ijazah sarjana muda sehingga ke peringkat
doktor falsafah daripada beberapa institusi pengajian tinggi terutamanya UKM
dan UM. Senarai judul diklasifikasikan mengikut bidang perkara dan disertakan
beberapa maklumat secara terperinci sebagai rujukan pengguna dan pengkaji lain.
Selain itu, antara kemudahan perkhidmatan yang disediakan ialah bilik penulisan
yang selesa, ruang pameran manuskrip dan penasihat penulis.
Para penulis yang mengkaji tentang ilmu-ilmu Melayu boleh
menggunakan salinan mikro untuk tujuan penulisan. Naskhah asal hanya
176
dibenarkan menjadi rujukan kepada penulis yang ingin mengkaji tentang sifat
fizikal manuskrip tersebut dan manuskrip tersebut hanya dibenarkan dirujuk di
ruang bacaan PMM sahaja. Ini adalah bertujuan untuk memastikan naskhah asal
Manuskrip Melayu tidak hilang dan dibawa keluar daripada PNM dengan
sewenang-wenangnya.
j) Pinjaman
Selain daripada menyediakan rujukan kepada para penulis, PMM turut
membenarkan para penulis meminjam salinan mikrofilem atau mikrofis
Manuskrip Melayu di bawah Sistem Pembekalan Penerbitan. Di samping itu,
PMM juga memberikan pinjaman kepada mana-mana pihak untuk tujuan pameran
mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.
PMM menguruskan segala perkara yang berkaitan dengan pengumpulan
bahan yang dipohon untuk pinjaman, manakala Sistem Pembekalan Penerbitan
mengendalikan pengiriman bahan tersebut. Pihak PMM juga bersedia memberi
khidmat sebagai perantara antara penulis dengan pihak lain sama ada institusi atau
individu yang mempunyai manuskrip yang diperlukan terutamanya institusi di
luar negara dan memerlukan proses yang rumit untuk mendapatkannya tanpa
urusan yang rasmi.48
k) Pameran
PMM turut menjalankan aktiviti pameran secara berkala sama ada
berbentuk dalaman mahupun luaran. Pameran dalaman yang dilaksanakan secara
berkala dua bulan sekali telah diwajibkan penganjurannya kepada pegawai-
48 En. Faizal Hilmie Yusof (Ketua Unit Pembinaan Koleksi PMM) dalam temu bual dengan
penulis, 23 Ogos 2010.
177
pegawai setiap bahagian di bawah PMM.49 Setiap bahagian ini akan
mempamerkan manuskrip dan hasil kerja berdasarkan peranan yang dimainkan
oleh mereka dalam PMM. Manakala pameran luaran yang diadakan adalah untuk
memberi peluang kepada masyarakat Malaysia mengenali dan mengetahui tentang
Manuskrip Melayu diadakan oleh PMM berdasarkan tema sambutan perayaan
tertentu atau hari-hari kebesaran Islam seperti sambutan Maulidur Rasul, Hari
Kebangsaan, Nuzul Al-Quran, Hari Pahlawan dan sebagainya yang bersesuaian
dengan kandungannya. Manuskrip yang dipamerkan pada pameran tersebut
adalah mengikut kesesuaian tema. Contohnya pada pameran memperingati jasa
dan keberanian Hang Tuah pada 21 Julai 2010 hingga 31 Ogos 2010, manuskrip-
manuskrip yang berkaitan dengan Hang Tuah dipamerkan seperti Hikayat Hang
Tuah yang mempunyai pelbagai versi iaitu MSS 1658 (yang telah dikarang oleh
Tun Kulah@Kola), MSS 1713 (yang telah mendapat pengiktirafan antarabangsa
dan bertarikh sanat pada 1282 H bersamaan dengan 1865 M), MSS 2580 dan
MSS 3903.
Pada kebiasaannya, PMM mengadakan pameran di PNM. Pameran ini
bertujuan untuk memberi maklumat kepada masyarakat tentang nilai estetika dan
kepentingan ilmu yang terdapat dalam Manuskrip Melayu agar generasi pada hari
ini dapat menghayati serta menghargai kewujudan dan kepentingan khazanah
berharga bangsa Melayu ini. Kebanyakan Manuskrip Melayu yang dipamerkan
kepada pengunjung adalah manuskrip yang masih dalam keadaan baik dan tidak
terlalu uzur. Manuskrip-manuskrip yang terlalu uzur tidak diberi kebenaran untuk
dipamerkan.
Daripada jadual senarai pameran bergerak yang telah diadakan oleh pihak
PMM, penulis merumuskan peningkatan pengunjung ke PMM dari tahun 2003-
2006 mempunyai kaitan secara tidak langsung dengan usaha mempromosikan
khazanah berharga ini melalui pameran bergerak yang diadakan di seluruh negeri.
Maka, maklumat dan informasi mengenai manuskrip Melayu dapat disampaikan
dan seterusnya mereka akan berminat berkunjung ke PMM untuk melihat dan
meneliti dengan lebih dekat lagi khazanah berharga ini.
Selain menganjurkan pameran Manuskrip Melayu, PMM turut mengalu-
alukan penganjuran program dan pameran daripada mana-mana pihak. PMM akan
memberikan pinjaman kepada mana-mana penganjur yang ingin mempamerkan
Manuskrip Melayu. Walau bagaimanapun, Manuskrip Melayu yang digunakan
untuk tujuan pameran di luar Perpustakaan Negara perlu diberikan perlindungan
insurans dan pihak peminjam bertanggungjawab sepenuhnya ke atas bahan-bahan
tersebut.
l) Khidmat Nasihat
PNM melalui bahagian PMM boleh memberikan nasihat dan saranan
dalam bidang penilaian, pendokumentasian dan pemuliharaan manuskrip di
samping membantu secara langsung atau tidak kepada sesetengah penulis dalam
bidang Manuskrip Melayu. Antaranya keterlibatan beberapa pegawai dari PMM
dalam proses penilaian Manuskrip Melayu. Contohnya En. Faizal Hilmie yang
terlibat sebagai Jawatankuasa Menilai Manuskrip Melayu di Arkib Negara
Malaysia. Selain itu, usaha „turun padang‟ untuk berhadapan dengan pemilik
Manuskrip Melayu yang enggan berpisah dengan manuskripnya. Hal ini dikongsi
184
oleh En.Faisal Hilmie bersama penulis dalam satu temu bual. Beliau
menceritakan pengalaman beliau berhadapan dengan pemilik manuskrip yang
enggan berpisah dengan manuskrip contohnya pemilik di negeri Kedah,
Kepulauan Bao-Bao, dan sebagainya.50
m) Penerbitan
Menyedari hakikat bahawa Manuskrip Melayu merupakan khazanah
penting yang mengumpulkan pelbagai bidang keilmuan cendekiawan Melayu
terdahulu, PMM turut berperanan dalam menyebarkan ilmu dan hikmah yang
terkandung di dalam manuskrip-Manuskrip Melayu agar buah fikiran dan
pemikiran cendekiawan Melayu terdahulu dapat dikongsi dan dikembangkan
dalam masyarakat pada hari ini.
Oleh kerana itu, peranan PMM yang bukan sekadar memulihara dan
mendokumentasi Manuskrip Melayu, telah diperluas dalam bidang penerbitan
pada tahun 1992 dengan terhasilnya sebuah jurnal ilmiah yang diberi nama Jurnal
Filologi Melayu. Selain itu, PMM telah diamanahkan sebagai urusetia yang
bertanggungjawab menerbitkan buku dan jurnal berkaitan dengan Manuskrip
Melayu di Perpustakaan Negara. Wan Ali Wan Mamat pada ketika itu yang
mengetuai PMM menyatakan bahawa “penerbitan jurnal ini adalah selaras dengan
peranan PMM di PNM iaitu menyebarkan ilmu yang terkandung dalam
manuskrip melalui penyelidikan dan penerbitan”.51
50 En. Faizal Hilmie Yusof (Ketua Unit Pembinaan Koleksi PMM) dalam temu bual dengan
penulis, 23 Ogos 2010.
51 Roosfa Hashim, “Jurnal Filologi Melayu 1992-2002: Wadah Perbahasan Manuskrip Melayu”,
(Perpustakaan Negara, 2004), 42
185
Beliau menambah mengenai skop dan fokus yang ditekankan dan
diketengahkan oleh jurnal ini dengan menyatakan Jurnal Filologi Melayu ini
diterbitkan supaya warisan ilmu yang terkandung dalam Manuskrip Melayu dapat
disebarkan dengan lebih meluas dan dimanfaatkan oleh masyarakat ramai. Jurnal
ini bersifat ilmiah supaya kandungannya dapat menjadi bahan rujukan kepada
para penulis Manuskrip Melayu dan pemaparan maklumatnya lebih bererti. Judul
sedemikian telah dipilih supaya skop jurnal dapat meliputi aspek-aspek yang lebih
luas tetapi lebih berkaitan dan berfaedah dalam kajian Manuskrip Melayu.
Penghayatan jurnal ini tidak terhad kepada pencinta sastera lama sahaja, bahkan
kepada sesiapa sahaja yang berminat dengan pelbagai warisan ilmu Melayu sama
ada mengenai sejarah, perubatan, agama atau lain-lain juga boleh
memanfaatinya”.52
Maka, daripada senarai penerbitan yang panjang tersebut, jelas
menunjukkan usaha produktif yang telah dilaksanakan untuk menjayakan
program penerbitan. Program ini melibatkan terbitan pelbagai kategori bahan
sama ada jurnal, buku, CD, dan katalog yang berkaitan dengan Manuskrip
Melayu dengan tujuan supaya hasil khazanah yang terakam di dalamnya dapat
disebarkan dan diketahui.
189
n) Muallim Tamu
Menyedari bahawa khazanah intelektual yang terakam di dalam manuskrip
perlu diterokai dan disebarkan kepada masyarakat, PMM memperkenalkan projek
Muallim Tamu bermula pada tahun 1994. Projek ini merupakan inisiatif untuk
tujuan penulisan dan penerbitan buku-buku ilmiah dan jurnal khusus berkaitan
dengan Manuskrip Melayu. Muallim Tamu merupakan jawatan yang diberikan
kepada seorang tokoh ilmuan yang dilantik oleh kerajaan khusus untuk
menjalankan penulisan Manuskrip Melayu koleksi PNM bagi tempoh yang telah
ditetapkan. Segala hasil daripada kajian yang dijalankan oleh Muallim Tamu ini,
kemudiannya diterbitkan oleh PNM.
Muallim Tamu yang dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam atas
cadangan PNM adalah seorang yang telah memenuhi kriteria pemilihan yang
ditetapkan oleh PNM. Keutamaan diberikan kepada calon-calon daripada
warganegara Malaysia untuk menyandang jawatan sebagai Muallim Tamu. Di
samping itu, seseorang yang dilantik menjawat jawatan sebagai Muallim Tamu
mestilah mempunyai ketokohan dan kemahiran dalam bidang yang ingin dikaji di
samping mampu menguasai tulisan Jawi (lama) dengan baik. Selain daripada itu
beliau juga mampu memahami bahasa Arab, Sanskrit, dan bahasa-bahasa lain
yang sesuai untuk penulisan manuskrip kerana manuskrip ditulis menggunakan
beberapa bahasa lain selain bahasa Melayu. Individu yang dilantik menjadi
Muallim Tamu juga mestilah berupaya menyiapkan hasil penulisan yang bermutu
tinggi dan bersifat ilmiah untuk diterbitkan oleh PNM. Selain daripada itu,
individu tersebut tidak boleh terikat dengan mana-mana perkhidmatan atau kerja
lain. Ini adalah bertujuan untuk memastikan Muallim Tamu dapat memberikan
perhatian sepenuhnya kepada kajian Manuskrip Melayu.
190
Penulisan dan kajian berkaitan Manuskrip Melayu yang dijalankan oleh
Muallim Tamu ini mempunyai tempoh masa yang tertentu sebagaimana yang
telah dipersetujui bersama di dalam kontrak. Kebiasaannya, tempoh kontrak
Muallim Tamu yang dilantik oleh kerajaan adalah selama setahun. Walau
bagaimanapun, kontrak ini boleh dilanjutkan dan ditamatkan pada bila-bila masa
berdasarkan prestasi kerja dan kelulusan pihak berkuasa. Sekiranya prestasi yang
ditunjukkan oleh Muallim Tamu tidak memberangsangkan dalam tempoh waktu
tertentu, PNM boleh mencadangkan kepada pihak berkuasa untuk menamatkan
perkhidmatan Muallim Tamu.
Sejak projek Muallim Tamu diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 1994,
beberapa orang Muallim Tamu yang pernah dilantik untuk menjawat jawatan ini
adalah seperti berikut;
i. 1993-1994 Drs. Abdul Rahman al-Ahmadi
ii. 1994-1995 Drs. Umar Junus
iii. 1996-1997 Dr. Abdul Rahman Kaeh
iv. 1997-1998 Drs. Abdul Rahman al-Ahmadi
v. 2001-2003 Dr. Harun Mat Piah
vi. 2003-2004 Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd Taib
Osman
Hakikatnya, Muallim Tamu yang dilantik oleh kerajaan ini mempunyai
peranan yang besar dalam mengkaji bidang keilmuan yang terkandung di dalam
Manuskrip Melayu agar cernaan ilmu cendekiawan silam dapat dikembangkan
191
oleh generasi masa kini dalam mencorak tamadun yang lebih unggul pada masa
akan datang. Menyedari hakikat tersebut, PNM sangat menitikberatkan soal
pemilihan manuskrip yang akan digunakan untuk kajian Muallim Tamu.
Manuskrip yang dikaji mestilah mempunyai naskhah, versi atau salinan
dalam koleksi Manuskrip Melayu di PNM dan manuskrip tersebut mempunyai
nilai agung dan dianggap istimewa dalam budaya dan sastera Melayu. PNM
sangat memberi keutamaan kepada manuskrip yang belum pernah dikaji dan
diterbitkan. Namun begitu sekiranya terdapat manuskrip yang pernah diterbitkan,
kajian yang dijalankan oleh Muallim Tamu haruslah daripada perspektif yang
berbeza. Selain daripada itu, manuskrip yang dipilih menjadi bahan kajian
perlulah bersifat kebangsaan dan bukan kedaerahan. Dalam hal ini, PNM perlulah
menyediakan senarai manuskrip yang mantap sebagaimana yang telah
dipersetujui oleh Jawatankuasa Pemilihan Manuskrip untuk memudahkan calon
Muallim Tamu membuat pertimbangan. Walau bagaimanapun, Muallim Tamu
perlu memilih manuskrip yang ingin dikaji mengikut kepentingan PNM dan
bukan mengikut kehendak dan kecenderungan sendiri agar selari dengan
keperluan semasa dalam bidang sejarah dan keilmuan.
PNM tidak pernah menganggap projek Muallim Tamu ini sebagai perkara
yang remeh, bahkan projek ini sangat bernilai daripada sudut keilmuan dan
keintelektualan kepada masyarakat. Oleh yang demikian, beberapa garis panduan
terhadap bidang tugas Muallim Tamu telah ditetapkan bagi memastikan
keberkesanan projek ini. Muallim Tamu perlu menghadirkan diri di PNM
mengikut kekerapan sebagaimana yang telah dipersetujui bersama bagi tujuan
perbincangan dan sebagainya. Di samping itu juga, Muallim Tamu
192
bertanggungjawab untuk mengemukakan laporan kemajuan penulisan pada setiap
tiga bulan kepada PNM dalam tempoh pengkajian.
Sebagai individu yang bertanggungjawab melaksanakan kajian ke atas
Manuskrip Melayu, Muallim Tamu diberi keistimewaan untuk menggunakan
kemudahan dan perkhidmatan yang tersedia di PNM selama tempoh pengkajian.
Pada akhir tempoh kontrak, Muallim Tamu perlu menyerahkan hasil kajian yang
telah sempurna kepada PNM. Hasil kajian ini sangat bernilai dan bermanfaat
untuk rujukan para penulis yang lain.
Hasil kajian yang telah sempurna, akan diterbitkan oleh PNM dalam
tempoh dua belas bulan selepas karya yang lengkap diterima. Dalam tempoh
tersebut, hasil kajian ini akan melalui proses suntingan dan penilaian. Karya
Muallim Tamu ini berhak disunting oleh PNM sebelum diterbitkan. Namun
begitu, suntingan tersebut tidak boleh mengubah wacana penulis. Oleh hal yang
demikian, Muallim Tamu perlu memberi kerjasama yang baik sepanjang kerja
penyuntingan dijalankan agar karya yang bakal diterbitkan adalah benar-benar
mantap dan komprehensif. Selain daripada itu, PNM juga berhak melantik panel
untuk mengkaji isi kandungan penulis agar karya yang dihasilkan tidak menyalahi
dan bercanggah dengan agama serta tatasusila masyarakat Malaysia.
PNM yang memegang hak penuh ke atas Hak Cipta Penerbitan sangat
teliti dalam soal isi kandungan dan hasil karya yang bakal diterbitkan. Setiap
penerbitan hendaklah mempunyai transliterasi teks manuskrip asal agar dapat
membantu dan memudahkan para penulis lain yang tidak mahir dengan tulisan
Jawi atau bahasa lain dalam memahami manuskrip tersebut. Di samping itu juga,
setiap manuskrip yang dikaji oleh Muallim Tamu dan hasil kajian beliau akan
193
dinilai terlebih dahulu oleh panel penasihat. Ini adalah bertujuan untuk
menghasilkan kajian dan karya yang benar-benar bermutu dan mempunyai nilai
intelektual yang tinggi. Penilaian yang dibuat oleh panel penasihat juga bertujuan
untuk mengelakkan sebarang bentuk kajian yang tidak menepati piawaian yang
ditetapkan oleh PNM kerana setiap penerbitan harus mengikut piawaian yang
diiktiraf oleh PNM dan perlu mendapat kelulusan Jawatankuasa Penerbitan,
PNM. Jumlah naskhah yang dicetak, ditentukan oleh PNM dari semasa ke
semasa.
Individu yang menyandang jawatan Muallim Tamu ini akan menerima
elaun setiap bulan daripada skim perkhidmatan yang diterima oleh kerajaan.
Selain daripada itu, Muallim Tamu turut menerima royalti sebanyak 10%
daripada harga karya beliau yang diterbitkan oleh PNM untuk cetakan kedua dan
berikutnya. Memandangkan tanggungjawab besar yang digalas oleh Muallim
Tamu ini, maka mereka berhak mendapat keistimewaan mengikut ketetapan PNM
sebagai menghargai jasa mereka iaitu berhak menerima enam buah naskhah
secara percuma dan boleh membeli 50 buah naskhah dengan potongan harga
30%.
Projek Muallim Tamu ini membuktikan PNM dan PMM mengambil sikap
serius dalam mengembang dan membangunkan nilai keintelektualan ilmuan
Melayu zaman silam agar dapat diadaptasi dalam peradaban ilmu pada masa kini
dan akan datang. Ia juga merupakan usaha yang baik dalam memelihara
Manuskrip Melayu daripada sudut intelektual dengan harapan sejarah, tamadun
dan ilmu masyarakat Melayu terdahulu terus diterokai dari semasa ke semasa agar
194
„tak lapok dek hujan dan tak lekang dek panas‟. Natijahnya, Muallim Tamu yang
dilantik menghasilkan kajian yang kemudiannya diterbitkan oleh PMM:
Jadual 4.13: Senarai Muallim Tamu Dan Hasil Kajian
BIL TAHUN MUALLIM TAMU HASIL
1 1994 Dr. Abdul Rahman al-Ahmadi Syair Siti Zubaidah
Perang China:
Perspektif Sejarah
2 1997
Dr. Umar Junus Undang-undang
Minangkabau:
Wacana Intelektual
dan Warna Ideologi
3 1997
Dr. Abdul Rahman Kaeh Syair Mahdi: Citra
Melayu Nusantara,
4 2000
Dr. Abdul Rahman al-Ahmadi Petua Membina
Rumah Kayu: Dari
Sudut Etnis
Antropologi,
5 2005
Dr. Harun Mat Piah Kitab Tib
6 2006 Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd
Taib Osman
Kitab Adab Raja-raja
Sumber: En. Faizal Hilmie Yusof (Ketua Unit Pembinaan Koleksi PMM) dalam
temu bual dengan penulis, 15 Ogos 2010.
Walau bagaimanapun, program ini seperti terhenti selepas tahun 2006
yang diakhiri oleh Prof Emeritus Datuk Dr. Mohd Taib Osman. Persoalan yang
tertanya dijawab oleh Timbalan Pengarah PMM sendiri, En Faizal Hilmie yang
menyatakan bahawa PMM memilih untuk „merehatkan‟ seketika program ini bagi
memberi ruang untuk usaha mevariasikan bentuk kajian lain seperti
memperbanyakkan pameran, seminar, dan sebagainya yang hanya memerlukan
kajian jangka masa pendek.53
53 En. Faizal Hilmie Yusof (Ketua Unit Pembinaan Koleksi PMM) dalam temu bual dengan
penulis, 23 Ogos 2010
195
o) Hadiah Penulis Jemputan
Hadiah Penulis Jemputan yang diperkenalkan oleh PNM dan PMM
merupakan satu lagi inisiatif yang dilaksanakan bagi menggalakkan para sarjana
khususnya serta masyarakat amnya menjalankan penulisan ke atas Manuskrip
Melayu, seterusnya menggiatkan lagi usaha penerbitan buku-buku ilmiah dan
jurnal berkaitan Manuskrip Melayu. Hadiah Penulis Jemputan ini adalah
penghargaan pihak kerajaan dalam bentuk anugerah yang diberikan kepada
penulis karya yang mempunyai nilai dan mutu yang tinggi berkaitan Manuskrip
Melayu serta sesuai untuk diterbitkan sebagai bahan rujukan dan bacaan.
Hasil karya para penulis dinilai oleh panel penilai yang telah dilantik oleh
PNM dalam meneliti mutu penulisan dan hasil kajian berkaitan Manuskrip
Melayu. Karya yang dipilih terdiri daripada karya-karya yang membicarakan
tentang Manuskrip Melayu atau satu aspek daripada Manuskrip Melayu yang
bersifat ilmiah, mempunyai mutu yang tinggi dan sesuai untuk diterbitkan sebagai
bahan rujukan dan bacaan. Walau bagaimanapun, keutamaan diberikan kepada
hasil penulisan peringkat PhD. atau yang setaraf dengannya sama ada karya
tersebut telah siap sepenuhnya atau hampir siap kandungannya. Selain daripada
itu, keutamaan juga diberikan kepada kajian Manuskrip Melayu yang terdapat
dalam koleksi PNM. Hadiah Penulis Jemputan juga hanya akan diberikan kepada
karya yang belum pernah diterbitkan oleh mana-mana pihak sama ada di dalam
atau luar negara.
Penerima Hadiah Penulis Jemputan akan dilantik secara rasmi oleh
kerajaan selepas perjanjian ditandatangani oleh Ketua Pengarah PNM dengan
penulis karya. Namun begitu, keutamaan perlantikan Penulis Jemputan ini
196
diberikan kepada penulis atau sarjana warganegara Malaysia. Selepas
termetrainya perjanjian di antara PNM dan penulis karya, penerima Hadiah
Penulis Jemputan akan dibayar honorarium berdasarkan kelulusan kerajaan. Di
samping itu juga, royalti sebanyak 10% daripada harga buku akan dibayar kepada
penerima Hadiah Penulis Jemputan bagi cetakan kedua dan berikutnya. Penerima
Hadiah Penulis Jemputan juga menerima beberapa keistimewaan daripada PNM
sebagai tanda penghargaan atas hasil penulisan ilmiah yang diterbitkan, iaitu
penerima hadiah tersebut berhak menerima enam buah naskhah secara percuma
dan boleh membeli 50 buah naskhah dengan mendapat potongan harga sebanyak
30%.
Karya yang terpilih menerima Hadiah Penulis Jemputan akan diterbitkan
oleh PNM dalam tempoh 12 bulan selepas menerima karya yang lengkap daripada
penulis. Selain daripada itu, jumlah naskhah yang dicetak adalah tertakluk kepada
PNM. Karya tersebut juga boleh disunting oleh PNM asalkan suntingan tersebut
tidak mengubah wacana penulis. Oleh yang demikian, penulis sewajarnya
memberikan kerjasama yang baik sepanjang kerja penyuntingan dijalankan.
Dalam urusan penerbitan karya ini, PNM memegang sepenuhnya Hak
Cipta Penerbitan. Maka karya yang terpilih perlu mendapat kelulusan daripada
panel penasihat yang telah dilantik oleh Ketua Pengarah PNM. Setiap penerbitan
perlu mempunyai tranliterasi teks manuskrip asal di samping menepati piawaian
penerbitan yang diiktiraf oleh PNM. Selain itu juga, penerbitan hasil kajian ini
perlu mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Penerbitan PNM bagi
memastikan penerbitan yang dibuat mempunyai mutu yang tinggi dan sesuai
menjadi bahan rujukan para penulis yang lain. Walau bagaimanapun, sepanjang
197
program ini diperkenalkan, masih belum mempunyai pemenang untuk program
ini.54
11. Pencapaian PMM
Sejak kewujudannya sebagai salah satu bahagian PNM secara rasmi pada
tahun 1985 hingga kini, terdapat beberapa pencapaian yang telah dikecapi oleh
bahagian ini. Usia penubuhan 25 tahun menyaksikan PMM berjaya muncul
sebagai antara institusi yang berjaya memperoleh dan menyimpan paling banyak
koleksi simpanan manuskrip. Dengan jumlah perolehan di dalam simpanannya
iaitu 4323 naskhah asal, ianya disifatkan sebagai koleksi Manuskrip Melayu
terbesar di dunia yang dimiliki dan dinaungi oleh sebuah institusi.
Selain itu, dalam usaha membumikan program yang digariskan yang selari
dengan objektif untuk memasyarakatkan bidang Manuskrip Melayu, keberhasilan
lapan buah terbitan hasil dari program Muallim Tamu juga antara pencapaian
yang digapai oleh PMM. Antara lainnya, pencapaian yang membanggakan PMM
ialah manuskrip Hikayat Hang Tuah dalam simpanan PMM tersenarai dan
mendapat pengiktirafan Warisan Dunia melalui Projek UNESCO ‘Memory of The
World’ (MoW) pada tahun 2001.
54 Ibid.
198
Gambar 4.4: Manuskrip Hikayat Hang Tuah
Sumber: MSS 2580
Selain itu, PMM juga sedang mencalonkan satu lagi koleksi manuskrip
simpanannya iaitu Taj al-Salatin untuk projek yang sama.55 Selain itu,
pengiktirafan daripada pihak dan institusi lain terhadap kewibawaan dan
kelayakan pegawai dari PMM dalam urusan berkenaan Manuskrip Melayu juga
tidak boleh dipandang enteng. Hal ini dilihat melalui perlantikan En Faizal
Hilmie56 dalam Jawatankuasa Penilai di Dewan Bahasa dan Pustaka dan Arkib
Negara Malaysia.57
Penyertaan sarjana asing juga tidak kurang pentingnya dalam menyatakan
bahawa PMM telah mendapat perhatian pihak lain khususnya dari sarjana luar
dalam memberi respon dan penyertaan dalam program serta aktiviti yang
dianjurkan oleh PMM. Antaranya ialah Dr Annabel Teh Gallop,58 Dr Roger Tol,59
Dr Chamamah Soeratno, 60 Dr Rattiya Salleh61 dan ramai lagi. Antara medium
55 En. Faizal Hilmie Yusof (Ketua Unit Pembinaan Koleksi PMM) dalam temu bual dengan
penulis, 23 Ogos 2010
56 Beliau adalah Ketua Unit Pembinaan Koleksi .PMM
57 En. Faizal Hilmie Yusof (Ketua Unit Pembinaan Koleksi PMM) dalam temu bual dengan
penulis, 23 Ogos 2010
58 Berkhidmat sebagai Kurator Indonesia dan Melayu dan Ketua Bahagian Selatan dan Asia
Tenggara di British Library. Berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dari School of Oriental and
Africa Studies, University of London. Bidang pengkhususan beliau ialah kajian Manuskrip
Melayu, warkah, dokumen dan cap mohor dan seni buku Islam di Asia Tenggara.
59 Berkhidmat sebagai Pengarah Koninjlik van door taal Leiden (KITLV), Cawangan Indonesia.
Berkelulusan Doktor Falsafah dari Universiti of Leiden.
60 Sarjana dari Indonesia dan bertugas sebagai Pensyarah di Fakulti Ilmu Budaya Universitas
Gadja Mada, Jogjakarta. Berkelulusan dari Ecole des Hantes en Science en Sociales, Paris.
199
dan saluran penyampaian dan kerjasama mereka ialah melalui penyertaan di
dalam seminar-seminar yang dianjurkan oleh pihak PNM melalui bahagian ini.62
Selain itu, sumbangan penulisan artikel di dalam jurnal khusus yang di terbitan
iaitu Jurnal Filologi Melayu.
11.1 Kekangan Yang Dihadapi
Namun, tidak dinafikan bahawa sebagai sebuah badan atau bahagian yang
menjalankan aktiviti dan berurusan dengan manusia khususnya, semestinya
timbul sedikit sebanyak masalah dan kekangan yang perlu dihadapi.
a) Program pengesanan dan perolehan
Umumnya bagi pihak pemilik Manuskrip Melayu terutamanya, ia
adalah warisan turun temurun keluarga, yang perlu dijaga dan terus
disimpan amanah tersebut. Oleh itu, dengan prinsip dan pegangan ini
akhirnya menjadikan Manuskrip Melayu yang dimiliki berhadapan dengan
faktor kemusnahan dan kerosakannya.
Faktor ini merupakan kekangan dan masalah yang selalu dihadapi
oleh pihak PMM terutamanya dalam misi mengesan dan menyelamatkan
khazanah berharga ini. Namun, atas kebijaksanaan dan kekreatifan dalam
mencari penyelesaian, pihak PMM mengambil langkah untuk mengatasi
masalah tersebut. Antara langkah yang telah diambil ialah menghulur
bantuan memulihara manuskrip tersebut. Walau bagaimanapun, pemilik
perlu berjanji memberi keutamaan kepada PMM apabila berhasrat untuk
61 Merupakan Pensyarah di Universiti Thaksin, Thailand. Beliau banyak menulis buku berkenaan
bahasa dan kebudayaan.
62 Antara seminar yang dianjurkan ialah Seinar Antarabangsa Manuskrip Melayu. Seminar ini
adalah hasil kerjasama antara Kementerian Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan Malaysia,
Perpustakaan Negara Malaysia dan Arkib Negara Malaysia. Diadakan pada 10- 11 Julai 2006.
200
menjualnya sebagai syarat perkhidmatan ini. Sifat kepintaran perlu untuk
meyakinkan pemilik tentang keupayaan PMM.63 Kepintaran juga diperlukan
untuk proses tawar menawar dengan pembekal dalam menetapkan harga
yang sewajarnya kepada setiap manuskrip yang dikehendaki.
b) Kewangan
Selain itu, kekangan kewangan juga adalah sesuatu yang tidak
menjadi kepelikan. Tambahan pula, dalam usaha memperoleh manuskrip
melalui pembelian terutamanya memerlukan kos yang tinggi
memandangkan nilai sejarah yang terdapat padanya. Selain memperoleh,
proses pemuliharaan melalui kemudahan tekologi juga memerlukan biaya
yang tinggi. Maka, seperti yang telah diperkatakan oleh penulis di peringkat
program pendokumentasian, cadangan memindahkan koleksi manuskrip ke
dalam talian hanya di peringkat perancangan.64
12. Kesimpulan
Tidak terlanjur penulis menyatakan bahawa kebimbangan banyak pihak
terutamanya ahli akademik yang terlibat secara langsung dalam khazanah
berharga ini dihentikan dengan kewujudan dan penubuhan PMM. Segala usul
yang diketengahkan di dalam pertemuan khusus berkaitan Manuskrip Melayu
pada Ogos 1983 di Dewan Bahasa dan Pustaka khususnya tiga nama yang tidak
asing lagi dalam bidang ini iaitu Siti Hawa Salleh, Abu Hassan Sham dan Harun
63 Antaranya ialah catatan pengalaman yang telah dikongsi oleh En. Faizal Hilmie selaku Ketua
Unit Pembinaan Koleksi PMM dalam proses pengesanan. Antaranya menggunakan kenderaan
Jabatan, berinteraksi dengan pemilik dengan cara yang sepatutnya. En. Faizal Hilmie Yusof
(Ketua Unit Pembinaan Koleksi PMM) dalam temu bual dengan penulis, 23 Ogos 2010.
64 En. Faizal Hilmie Yusof (Ketua Unit Pembinaan Koleksi PMM) dalam temu bual dengan
penulis, 23 Ogos 2010
201
Mat Piah berkaitan permasalahan dalam pendokumentasian khazanah berharga
ini. Antaranya ialah penyediaan tempat yang dilengkapi oleh kemudahan yang
sesuai dengan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah berharga ini dalam
segenap aspek.
Mengambil kira aspek ini, bersesuaian dengan objektif dan matlamat
PMM selaku pengurus serta pemulihara khazanah berharga ini memainkan
peranan besar melalui usaha-usaha dan program-program yang telah digariskan
oleh organisasi ini. Maka, selaku pengurus yang menggalas amanah dan
tanggungjawab besar ini menjalankan tugas dengan begitu terancang dan
sistematis sekali. Hal ini dilihat dari aspek pengurusan yang disusun dengan
begitu teliti dari pengurusan organisasi sendiri dari sudut pengagihan kerja dan
tugas mengikut kepakaran tersendiri. Selain itu, pengurusan tempat yang
mengambil kira keperluan dan kewajipan yang diperlukan oleh manuskrip dan
sumber kewangan dalam usaha mendapatkan manuskrip dan usaha-usaha lain
bagi menjayakan objektif penubuhannya.
Bermula dengan pemilihan pegawai dan mengambil kira objektif yang
telah digariskan, segala program disusun rapi bermula dari usaha mengesan,
memperoleh, mendokumen sehinggalah kepada usaha mempromosi supaya ianya
dikenali dan dihargai nilainya di seluruh negara. Maka, tidak hairanlah melalui
pengurusan yang cekap dan sistematis ini membolehkan PMM berdiri dan
bertahan sehingga ke hari ini setelah 26 tahun usianya bermula dari tahun 1985.
Sesungguhnya pencapaian yang dicapai juga menjadi suatu kebanggaan selaku
pemilik dan penyimpan salah sebuah manuskrip yang telah diiktiraf oleh
UNESCO pada tahun 2001.
202
Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan adanya sedikit kekangan yang
tidak dapat dielakkan dalam mana-mana organisasi seperti kewangan. Namun,
ianya bisa diselesaikan dengan baik dan diatasi dengan sebaik mungkin.
Bertanyakan pendapat salah seorang ahli akademik yang juga suatu masa dahulu
terlibat dengan usaha menyelamatkan khazanah berharga ini, Prof Madya Dr Raja
Masittah Raja Ariffin berkaitan kewajaran dan harapan terhadap penubuhan
PMM, beliau menyatakan bahawa inilah jalan penyelesaian terbaik dalam usaha
menyelamatkan khazanah berharga ini. Beliau sangat menyokong penubuhan
PMM dan dijadikan sebahagian di bawah PNM dan berharap ianya terus bertahan
demi kelangsungan khazanah intelektual Melayu silam untuk tatapan generasi
kini dan akan datang.
Secara kesimpulannya, penubuhan PMM merupakan sahutan dan
sokongan kerajaan kepada laungan berbagai-bagai pihak yang selama ini
menyuarakan kebimbangan tentang kemungkinan Manuskrip Melayu yang dalam
keadaan usang, rapuh dan reput di merata pelusuk negara itu hilang buat selama-
lamanya. Satu pusat penyelidikan yang baik di bidang berkaitan di negara ini
telah diwujudkan untuk menjamin keselamataan kepada warisan budaya Melayu
kita. Kerjasama dari semua pihak sama ada individu atau pun institusi diperlukan
di dalam membantu usaha gigih PMM membina koleksi Manuskrip Melayu yang
kukuh untuk kegunaan penyelidikan oleh para penulis dari dalam dan luar
BAB 5:
KESIMPULAN, CADANGAN
DAN SARANAN
204
BAB 5:
KESIMPULAN, CADANGAN DAN SARANAN
1. Kesimpulan
Sesungguhnya sinar Islam yang menyinari segenap aspek kehidupan masyarakat
rantau ini benar-benar mengubah dan seterusnya mengangkat kedudukan mereka
sebagai manusia yang bukan hidupnya dalam dunia khayalan sebaliknya menjadikan
mereka sedar akan hakikat kehidupan, berfikir secara rasional serta berasaskan
pertimbangan anugerah akal berdasarkan petunjuk wahyu dan pedoman yang telah
ditetapkan. Hal ini dimanifestasikan melalui tradisi penulisan manuskrip oleh para
ulama, cendekiawan, dan ilmuan dalam segenap aspek yang menyentuh tentang
kehidupan baik daripada aspek agama, kesusasteraan, politik, ekonomi, ketatanegaraan,
perubatan, dan sebagainya.
Manuskrip Melayu yang ditulis menggunakan sistem tulisan Jawi yang
diperkenalkan antara kurun ke-13 hingga kurun ke-19 ini bukan sahaja menawarkan
pelbagai maklumat yang dirakamkan di dalamnya, malah ianya adalah sumber alat
perhubungan antara masyarakat terdahulu dengan masyarakat zaman kini dalam
memahami realiti sebenar pembentukan kebudayaan masyarakatnya. Maka, tidak
dinafikan bahawa ianya dianggap serta dipandang penting dalam memahami dan
mendapatkannya oleh pihak luar terutamanya penjajah.
Justeru, hakikat yang perlu diakui bahawa khazanah berharga ini banyak
diangkut, dipunggah dan akhirnya disimpan dengan begitu baik oleh para penjajah ini.
Natijahnya, perjalanan sejarah yang panjang mencorakkan kepelbagaian dalam realiti
tradisi besar ini. Apa yang penting ini adalah bukti kekayaan keilmuan dan
205
keintelektualan para intelegensia Melayu silam. Namun, sejarah bukan hanya untuk
dikenang tanpa kita simpan dan membuat penilaian serta analisis semula melalui
pembacaan dan penyelidikan. Hal ini penting kepada suatu penerusan kepada generasi
kini dan akan datang.
Realiti kini, sememangnya Islam sudah lama bertapak, namun, kesedaran dan
penghayatan berkenaannya masih di tahap sederhana dan perlu dipertingkatkan Hal ini
berkemungkinan disebabkan faktor kurangnya kesedaran memahami realiti
kegemilangan ketamadunan Melayu Islam terdahulu. Tambahan pula dengan kesan
penjajahan yang ditinggalkan akhirnya menjadikan kita seolah-olah lupa bahawa
masyarakat Melayu Islam dahulu pernah berada pada suatu ketamadunan Melayu Islam
yang gemilang terutamanya dari aspek keilmuan dan keintelektualan.
Walaupun di pihak negara kita Malaysia, selaku ‘tuan punya’ khazanah tersebut
kelihatan agak terlewat dalam menyedari tentang kepentingan khazanah ini, namun, atas
keprihatinan pelbagai pihak, pengisytiharan Perpustakaan Negara Malaysia adalah sinar
dalam usaha murni ini dan natijah kepada kerunsingan pelbagai pihak yang telah diwar-
warkan. Maka, selaku institusi yang diberi kepercayaan dan tanggungjawab ini, PNM
melalui bahagian PMM memainkan peranannya sebagai pengurus khazanah berharga
ini melalui akta serta dasar yang bersesuaian yang telah ditetapkan supaya ianya
bertepatan dan selari dengan amanah yang telah dipertanggungjawabkan ini.
Penulis berkesempatan menemu bual secara tidak langsung dengan sarjana
tempatan dalam bidang Manuskrip Melayu, iaitu Prof. Dr. Ding Choo Ming mengenai
pandangan beliau secara peribadi tentang penubuhan PMM. Beliau menyatakan secara
teorinya, beliau amat menyokong kewujudan dan keberadaan pusat ini sebagai institusi
206
yang menyimpan khazanah berharga ini. Namun, secara praktikalnya, masih ada ruang
bagi PMM untuk membaiki pengurusan manuskrip ini dengan mengambil contoh
beberapa institusi luar terutamanya Barat yang menjadikan pusat penyimpanan
manuskrip sebagai sumber dan nadi kehidupan para sarjana yang mengkaji manuskrip.
Hal ini membawa maksud institusi tersebut bukan hanya terdiri daripada pegawai yang
menjaga, malahan terdiri daripada para sarjana dan ilmuan yang berkepakaran dalam
Manuskrip Melayu.1
Sememangnya penulis tidak menafikan pandangan Prof. Ding selaku sarjana dan
pemerhati dari luar PMM. Namun, pada hemat penulis, berkemungkinan ianya sukar
direalisasikan apabila melihat kepada kondisi PMM sebagai hanya salah satu bahagian
di bawah institusi lain iaitu PNM yang diberi amanah dan tanggungjawab dalam hal
ehwal pengurusan manuskrip. Manakala, pihak sarjana kebanyakannya membina
kehidupan mereka secara khusus di institusi-institusi tinggi. Walau bagaimanapun, dari
pandangan sarjana ini, kemungkinan usaha positif yang sedia ada perlu digiatkan lagi
dalam menjadikan pusat ini sebagai pusat kehidupan intelektual sarjana yang dapat
dijadikan sebagai suatu pusat yang berdiri secara mandiri tanpa berada di bawah mana-
mana jabatan atau instutisi lain.
Selain itu, penulis juga berpeluang menemu bual Ketua Pengarah PNM selaku
pentadbir organisasi yang menaungi PMM. Menurut beliau, kelangsungan dan
pelestarian penubuhan PMM sebagai Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu semestinya
diteruskan. Hal ini kerana, beliau melihat kepada manuskrip sebagai khazanah warisan
keilmuan dan keintelektualan ulama silam yang ditinggalkan kepada generasi kini yang
1 Prof Dr Ding Choo Ming ( Pensyarah UKM) dalam temubual bersama penulis, 22 Mac 2011.
207
perlu dikaji dan digali. Tambahan pula, manuskrip ini menyimpan dan merakamkan
pelbagai bidang keilmuan seperti keagamaan, perubatan dan sebagainya.2
Seterusnya, dalam menyimpul perbincangan dan penulisan kajian pada kali ini,
penulis membuat beberapa kesimpulan seperti berikut:
a) Manuskrip adalah khazanah intelektual cendekiawan Melayu silam yang
mesti diurus tadbir dengan begitu rapi sebagai bukti kekayaan warisan
keilmuan dan keintelektualan sebagai salah satu aspek ketamadunan
masyarakat rantau ini. Jika dinilai ketamadunan dari aspek bangunan
bersejarah, sesebuah bangunan bersejarah akan dinilai tinggi nilainya,
apatah lagi dengan khazanah intelektualan ini yang terakam di dalamnya
seribu satu ilmu yang meliputi aspek keagamaan, perundangan, politik,
kesusasteraaan dan sebagainya.
b) Kesedaran terhadap manuskrip dan kandungannya sebagai khazanah
intelektual perlu digiatkan dan dipertingkatkan di segenap peringkat
masyarakat.
c) Kesedaran di kalangan institusi berada di tahap yang baik, tetapi,
kebersediaan dalam pengurusan yang menyeluruh seperti kemudahan
pemuliharaan agak kurang disebabkan beberapa faktor kekangan seperti
kewangan, tempat dan tenaga mahir sebagai contoh di Perpustakaan
Universiti Malaya dan Pusat Dokumentasi Dewan Bahasa dan Pustaka yang
mana merupakan institusi yang dikunjungi oleh penulis. Hal ini bukanlah
membawa maksud ketidaksedaran pihak tersebut terhadap kepentingan
pemuliharaan khazanah berharga ini, tetapi adalah disebabkan faktor
kekangan yang telah dinyatakan di atas.
2 Dato’ Raslin Abu Bakar (Ketua Pengarah PNM), dalam temubual dengan penulis, 17 Februari 2011.
208
d) Kerisauan yang telah dinyatakan oleh pelbagai pihak sama ada individu
seperti sarjana ataupun organisasi di peringkat awal kesedaran akan
kepentingan khazanah berharga ini akhirnya menemui jalan
penyelesaiannya dengan pengisytiharan PNM sebagai Pusat Kebangsaan
dan menubuhkan bahagian PMM di bawah struktur organisasi ini.
e) PNM sebagai institusi yang menyediakan kemudahan ini bertepatan dengan
pengisytiharan dan amanah serta tanggungjawab yang dipikulnya selaku
pemegang status gedung menyimpan khazanah intelektual.
Namun, pada hemat penulis, kemungkinan pada masa akan datang dengan
mengambil kira kemudahan dan kemandirian bahagian ini, tidak mustahil ianya akan
dijadikan suatu Pusat Manuskrip Melayu secara mandiri dan seterusnya menjadikannya
sebagai pusat penyelidikan dan rujukan berkenaan Manuskrip Melayu yang terulung.
2. Cadangan Dan Saranan
Seterusnya, dalam memastikan khazanah berharga ini dan fungsi PMM selaku
bahagian yang dipertanggungjawabkan menguruskan hal ehwal manuskrip ini agar terus
berada di tahap yang baik, penulis menyatakan beberapa cadangan dan saranan yang
difikirkan wajar dikemukakan dan dipertimbangkan oleh beberapa pihak yang telah
dinyatakan.
2.1 PMM
Penulis berpandangan bahawa PMM terus meningkatkan lagi usaha yang
telah sedia dilaksanakan untuk mendapatkan sebanyak mungkin Manuskrip
Melayu yang terdapat di negara-negara asing walaupun dalam bentuk-bentuk
lain. PMM juga disarankan supaya menambah koleksi melalui usaha pengesanan
209
dari institusi dalam dan luar bagi mempersiapkan bahagian ini sebagai pusat
penyelidikan terulung dan terbesar di peringkat antarabangsa. Ia bukan sekadar
tempat rujukan para sasterawan, malah lebih dari itu, sebagai institusi yang
memartabatkan ulama Melayu di mata dunia melalui tinggalan hasil tulisan
tangan dan keilmuan serta keintelektualan mereka.
Selain itu, usaha memperolehi koleksi Manuskrip Melayu daripada
institusi dalam negara juga adalah usaha yang tidak boleh dipandang enteng.
Perolehan ini harus dilakukan dalam pelbagai bentuk. Hal ini kerana, status
Pusat Kebangsaan Manuskrip yang diamanahkan seharusnya mempunyai semua
koleksi yang terdapat di Malaysia contohnya Manuskrip Undang-undang Kedah
hanya boleh didapati di Arkib Negara Malaysia tanpa sebarang salinan yang
disimpan di PMM.3
Selain itu, usaha dan kerjasama pihak PMM dengan mana-mana syarikat
penerbitan, penulis dan institusi pendidikan dalam usaha menjelmakan isi
kandungan manuskrip dalam pelbagai medium dan wadah perlu difikirkan.
2.2 Pihak Perpustakaan
Selaku pihak institusi yang menaungi bahagian PMM, langkah yang
lebih serius dalam usaha murni ini perlu diteruskan dan dilakukan
penambahbaikan.
Dari sudut tempat, melalui lawatan dan pengamatan penulis ke tempat
pemuliharaan, proses pemuliharaan kelihatan agak tidak sesuai dilakukan di
3 Pengalaman rakan penulis yang menjalankan penyelidikan mengenai Undang-Undang Kedah.
210
tempat yang terbuka. Hal ini dilihat dari aspek keselamatan manuskrip tersebut
memandangkan usaha dan nilai yang perlu dilakukan dan dibayar bukanlah
sedikit jumlahnya.
Selain itu, dari sudut penguasaan pegawai dalam aspek yang berkaitan
dengan manuskrip juga perlu terus diberi perhatian sebagai contohnya
mengadakan kempen pembudayaan tulisan Jawi yang dilancarkan pada tahun
2006, menggalakkan pegawai memberi partisipasi dalam program atau usaha
yang berkaitan Manuskrip Melayu, dan sebagainya. Perkara ini bukan hanya
dikhususkan kepada pegawai di bahagian PMM sahaja, namun, seluruh jabatan
PNM dalam usaha menjadikan pegawai-pegawai di PNM sebagai pegawai yang
bersifat multiknowledge person. Di samping itu, perkara ini dapat menjadikan
pegawai di PNM dan PMM sebagai individu-individu yang menyahut segala
dasar dan pelaksanaan serta kempen yang dilakukan.
2.3 Institusi Pendidikan
Saluran dan medium pendidikan adalah wadah paling berkesan dalam
menyampaikan informasi dan maklumat serta pengetahuan. Pemindahan ilmu
yang berlaku haruslah telus dan menyeluruh serta menekankan tentang
pembinaan ketamadunan Melayu Islam terdahulu supaya semangat bahawa
masyarakat dan bangsa ini bukanlah hanya membina ketamadunan dengan
hanya ‘ikut-ikut’ semata-mata sebaliknya, ketamadunan Melayu Islam yang
telah dibina oleh masyarakat terdahulu adalah dengan acuan tersendiri.
211
Maka, melihat kepada kepentingan medium ini, kesedaran ini wajarlah
ditanam kepada anak-anak di pelbagai peringkat institusi pendidikan supaya
timbul kesedaran bahawa Islam telah menyumbang suatu sumbangan yang besar
dalam pembinaan ketamadunan Melayu Islam pada suatu masa dahulu
khususnya dari aspek keilmuan dan keintelektualan yang mana akhirnya
mengangkat dan menjadikan masyarakat rantau ini sebagai masyarakat yang
mementingkan ilmu pengetahuan. Hal ini dibuktikan dengan hasil peninggalan
ulama dan ilmuan Melayu Islam silam yang berbentuk penulisan khazanah ilmu
yang tidak ternilai harganya. Maka, khazanah ini perlu ditonjol dan disebarkan
dalam kalangan masyarakat di pelbagai peringkat.
Melalui pendidikan juga, kesedaran dan pengetahuan Jawi mesti diberi
penekanan memandangkan usaha memahami manuskrip adalah berkait langsung
dengan tahap penguasaan dan pengetahuan sistem tulisan ini.
2.4 Pengajian Tinggi
Seterusnya, usaha pengkajian terutamanya di peringkat institusi
pendidikan tinggi dan penerbitan buku atau sebarang bahan bacaan atau terbitan
melalui media cetak atau elektronik juga adalah harus dipandang serius seperti
buku kartun, CD dan sebagainya agar dapat menarik pelbagai lapisan
masyarakat mengetahui dan memahami isi kandungan khazanah berharga ini.
Selain itu, mendedahkan dan kesedaran terhadap khazanah ini dari
segenap aspek. Antaranya usaha pemuliharaan. Hal ini dirasai oleh penulis
sendiri melalui lawatan yang dilakukan ke bahagian pemuliharaan PNM.
Melihat dan meninjau proses pemuliharaan manuskrip yang dilakukan dengan
212
penuh prihatin dan teliti memandangkan faktor usia manuskrip dan keadaannya.
Melalui peninjauan ini memberi kesedaran bahawa betapa sukarnya iadi lakukan
dan dijalankan.
Seterusnya, melalui saluran institusi pengajian tinggi juga, dasar kerajaan
boleh dimanfaatkan. Pihak kerajaan sewajarnya memberi galakan dan dorongan
terhadap penyelidikan berkaitan khazanah berharga ini. Sokongan berbentuk
material dan moral perlu diberikan supaya khazanah ilmu yang tersimpan di
dalamnya digali dan diteroka akhirnya disebarluaskan dalam medium
pendidikan.
2.5 Institusi Penyimpanan Lain (Repositori)
Usaha lebih serius dalam memelihara koleksi manuskrip dalam simpanan
perlu dilaksanakan. Pada pandangan penulis, dalam memastikan pelestarian
khazanah ini, usaha untuk memusatkannya mesti dilakukan. Penulis tidak
bermaksud mengatakan bahawa institusi selain PNM yang memiliki koleksi
manuskrip perlu menyerahkan koleksi yang dimiliki terutamanya manuskrip asal
kepada PNM sebaliknya usaha memindahkannya ke bentuk-bentuk lain sebagai
langkah keselamatan ataupun backup adalah amat disarankan.
Hal ini memandangkan PNM sebagai Pusat Kebangsaan Manuskrip
Melayu yang diharapkan dapat mengumpulkan pelbagai koleksi manuskrip
semaksimum mungkin. Dari sudut pandangan lain, usaha ini perlu dilaksanakan
bagi menghadapi sebarang masalah atau kebarangkalian yang memungkinkan
kepada berlakunya kehilangan atau kerosakan manuskrip yang hanya berada di
213
dalam satu-satu institusi tanpa ada sebarang backup kepadanya yang seterusnya
mengundang kepada suatu kerugian yang amat besar.
Akhirnya, pada hemat penulis, PMM menjalankan tugas dan peranannya
sebagai salah satu bahagian di bawah PNM sebagai pengurus Manuskrip Melayu
bersesuaian dengan amanah dan tanggungjawab yang diberikan. Diharapkan
ianya terus mengorak langkah dalam usaha merancang dan
mengimplementasikan segala usaha yang baik bermatlamatkan memartabatkan
warisan khazanah intelektual ini.